Harta Yang Diwajibkan Zakat

Harta yang diwajibkan zakat secara asasnya merupakan harta yang subur, iaitu harta yang boleh berkembang dan bertambah. Berdasarkan asas tersebut, maka terdapatlah beberapa jenis harta yang diwajibkan zakat.

Harta Wajib Membayar Zakat

Berdasarkan perkara asas di atas, harta yang menjadi wajib untuk dikenakan zakat adalah seperti berikut:

Emas dan Perak

Yang dimaksudkan ialah emas dan perak yang boleh ditempa atau dalam bentuk jongkong sama ada dimiliki secara lansung ataupun tidak, atau berkaitan dengan wang emas dan perak atay wang kertas sebagai ganti kedua-duanya.

Termasuk juga sijil saham yang mempunyai jaminan tetap yang dibayar mengikut nilai sebenar sama ada emas atau perak. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Tawbah 9:34)

Dikecualikan barang kemas wanita atau perhiasan perak yang dipakai lelaki atau tidak sampai tahap berlebih-lebihan pada pandangan umum.

Binatang Ternakan

Maksud binatang ternakan ialah unta, lembu, biri-biri, kambing dan sebagainya.

Tanam-Tanaman dan Buah-Buahan

Tanaman yang diwajibkan ialah tanaman yang menjadi makanan asasi yang boleh disimpan lama dan tidak rosak. Antara buah-buahan yang wajib zakat ialah kurma dan anggur.

Manakala tanaman pula adalah seperti gandum, beras, barli, padi, kacang dal, kacang putih, jagung dan sebagainya. Sebarang makanan pada masa kesusahan dan musim kemarau tidak dianggap sebagai makanan asasi.

Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.” (Surah al-An’am 6:141)

Barang Perniagaan

Perniagaan ialah bertukar ganti barangan untuk mendapatkan keuntungan. Ia tidak terhad kepada harta kebendaan tertentu. Maksud barang pula ialah barangan yang ditukar ganti untuk tujuan keuntungan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada usaha kamu yang baik-baik.” (Surah al-Baqarah 2:267) Mujahid berkata: “Ayat ini berkaitan dengan hukum zakat perniagaan.”

Harta Galian (Ma’dan) dan Harta Purba (Rikaz)

Emas dan perak yang dikeluarkan dari dalam bumi dan kemudiannya dibersihkan daripada unsur asing dinamakan ma’dan. Rikaz pula merujuk kepada emas atau perak yang tertanam di dalam perut bumi sebelum kedatangan Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda dan bermaksud: “Pada harta rikaz zakatnya ialah 1/5.” (Muttafaq ‘alaih)

Begitulah di antara harta yang diwajibkan zakat, semoga dengan perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan pembaca semua untuk menunaikan zakat atau membelanjakannya ke jalan Allah s.w.t. Terutama kepada rakan-rakan yang melabur dalam emas dan perak.

Harta Yang Diwajibkan Zakat

Sebarkan kepada rakan-rakan anda!

8 thoughts on “Harta Yang Diwajibkan Zakat”

Leave a Comment