Kelebihan solat Jumaat yang sudah pasti menjadi pemangkin semangat untuk umat islam terus beribadat kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya umat islam diseru untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan penuh yakin dan keikhlasan dalam melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
Jika sebelum ini saya ada kongsikan kelebihan hari Jumaat yang merupakan hari yang paling istimewa bagi umat islam, hari yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan serta hari melipat gandakan amal ibadat kepada Allah s.w.t. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan pensyariatan solat Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.
Keistimewaan dan Kelebihan Solat Jumaat
Sesungguhnya solat Jumaat mempunyai berbagai keistimewaan dan kelebihan yang menyebabkan ia sangat penting untuk dilaksanakan oleh setiap umat islam yang mencukupi syarat-syaratnya. Ia bukan sahaja berbentuk ibadat seorang mukmin kepadaNya, bahkan ia juga merupakan suatu perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat islam untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Di antara kelebihan solat Jumaat antaranya ialah:
- Mengukuhkan ikatan silaturahim dan kasih sayang sesama islam, di mana ia merupakan salah satu unsur terpenting untuk menjamin kekuatan umat islam.
- Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat yang berguna untuk seluruh jemaah melalui khutbah, di mana ia merupakan satu peluang bagi setiap individu melaksanakan muhasabah diri sendiri.
Memandangkan betapa pentingnya solat Jumaat, Rasulullah s.a.w. amat mengambil berat terhadapnya sehingga Baginda telah memberikan amaran keras kepada mereka yang mengabaikan solat Jumaat, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Dari Abil Jahdid Dhamri katanya, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah Subhanahu Wata’ala akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)
Demikianlah betapa istimewanya hari Jumaat bagi umat Islam. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan agar umatnya melakukan beberapa ibadat sunat pada hari Jumaat yang dapat menambahkan lagi ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Di antara ibadat tersebut ialah:
- Membaca Surah As Sajdah di dalam sembahyang Fardhu Subuh dan diiringi dengan sujud tilawah. Sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah s.w.t. yang terbentang luas, sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Apabila anak cucu Adam Alaihissalam membaca Surah As Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam Alaihissalam di perintah untuk sujud kepada Allah, maka bagi mereka itu balasan syurga sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar, oleh itu untuk-ku api neraka.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
- Membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat atau pagi hari Jumaat. Mereka yang membaca surah ini akan mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah s.w.t. di sepanjang minggu tersebut dan akan memperolehi cahaya, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis maksudnya:
“Dari Abi Sahid Al Khudri katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang membaca Surah Al Kahfi pada malam Jumaat nescaya Allah s.w.t. akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat.” (Riwayat Al-Imam Ad-Darimi)
- Memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w., sebagaimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
“Dari Abi Ad Darda’e katanya : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Perbanyakkanlah selawat ke atas-Ku pada hari Jumaat. Sesungguhnya ia disaksikan oleh para malaikat.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Bagi mencapai matlamat agar solat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya, Rasulullah s.a.w. telah menggariskan beberapa panduan yang sebaik-baiknya dilakukan oleh setiap umat islam iaitu:
- Sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi, membersihkan badan, memotong kuku, memakai pakaian yang bersih dan kemas dan berwangi-wangian agar jemaah lain yang berhampiran tidak terganggu oleh bau badan atau pakaian yang busuk. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Dari Abdullah bin Umar r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Jika seseorang daripada kamu hendak pergi bersembahyang Jumaat, maka sunatlah ia mandi.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
- Kita disunatkan datang awal ke masjid dan mendapatkan saf yang pertama atau saf yang paling hadapan dan mengisi masa di dalam masjid dengan beriktikaf, membaca Al-Qur’an, berzikir, mengerjakan solat sunat dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.
Manakala sewaktu khutbah Jumaat dibacakan, para jemaah hendaklah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada khutbah tersebut. Mendengar khutbah merupakan suatu kemestian bahkan kita dilarang melakukan ibadat sunat seperti berzikir atau membaca Al-Qur’an ketika khatib sedang berkhutbah. Apatah lagi jika sekiranya ada di kalangan para jemaah yang tidak mendengar khutbah seperti sibuk bercakap-cakap atau berbual-bual atau bergurau senda, ia bukan sahaja tidak memperolehi isi kandungan atau nasihat yang ada di dalam khutbah, malahan solat Jumaatnya penuh dengan kecacatan dan tidak sempurna, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Dari Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang bercakap-cakap pada hari Jumaat ketika imam sedang membaca khutbah dan sesiapa yang melarang kepada rakannya yang bercakap, maka tiadalah Jumaat baginya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Sesungguhnya sikap tidak menumpukan perhatian ketika khatib menyampaikan khutbah adalah merupakan sikap yang sangat buruk. Ia menyerupai sikap yang pernah ditunjukkan oleh orang-orang kafir Qurais di zaman dahulu. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Fush Shilat ayat 26-27 tafsirnya:
“Dan orang-orang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar akan Al-Qur’an ini dan tentanglah dia dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak supaya kamu berjaya menganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya. Maka demi sesungguhnya, kamu akan merasakan kepada orang-orang yang kafir itu azab yang seberat-beratnya dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.”
Oleh yang demikian, sayugia diingatkan agar kita sentiasa menumpukan perhatian terhadap khutbah yang dibaca dan disampaikan kerana amalan tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah adalah menyerupai dengan pengabaian terhadap bacaan Al-Qur’an kerana salah satu dari rukun khutbah adalah membaca Al-Qur’an. Justeru itu, apabila ayat Al-Qur’an atau khutbah dibacakan, maka hendaklah kita diam dan menumpukan perhatian terhadapnya.
Apa yang mendukacitakan terdapat segelintir daripada kita yang lebih suka mendengar khutbah melalui radio di dalam kereta dan tidak mengambil peluang beriktikaf sambil mendengar khutbah di dalam masjid. Oleh itu, untuk mendapatkan kesempurnaan solat Jumaat para jemaah hendaklah berada di masjid ketika khutbah dibacakan dan menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah tersebut. Selain itu ada pula yang langsung tidak mendengar khutbah kerana lewat hadir ke masjid. Tidak dinafikan ada di antara mereka ini yang bertugas, akan tetapi adalah elok bersiap lebih awal demi mendapatkan kelebihan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah s.w.t. sentiasa memberikan rahmat, taufik dan hidayahNya kepada kita semua dan agar kita memperolehi kelebihan solat Jumaat dengan sempurna dan tiada cacat cela.
Semoga dengan perkongsian kelebihan solat Jumaat pada kali ini dapat memberi manfaat dan hidayah kepada pembaca semua. InsyaAllah hidup kita semua diberkati oleh Allah s.w.t. Amin.
Kelebihan Solat Jumaat
Satu perkongsian yang menarik, semoga artikel ini menjadi panduan kepada pembaca semua.
Terima kasih, mudah-mudahan begitulah hendaknya. InsyaAllah.
setiap hari jumaat kena republish entri ni. haha.. baru mengingati setiap jumaat.. just cadangan je!
aku hari jumaat untuk artikel keagamaan je, insyaAllah aku akan teruskan. 🙂
bagus tu bro, berilmiah sikit…
insyaAllah, hopefully artikel keagamaan ni dibaca oleh semua pembaca blog aku. 🙂
perkongsian yg bermanfaat..
mudah-mudahan ramailah yang membacanya. insyaAllah.