Blogger Perak Meraikan Warga Emas Dalam Majlis Iftar Tautan Kasih Sempena Ramadhan 1433H

Blogger Perak dengan slogan “We Are Family” baru-baru ini telah mengadakan sebuah majlis bagi meraikan warga emas dari Rumah Seri Kenangan Taiping bersempena bulan Ramadhan pada kali ini.

Majlis Iftar Tautan Kasih ini telah diadakan pada 5 Ogos 2012 bersamaan 16 Ramadhan 1433H iaitu pada hari Ahad yang lepas. Seramai 30 orang warga emas telah diraikan dalam satu majlis yang serba ringkas yang diadakan di rumah salah seorang ahli Blogger Perak iaitu Cik Reena Tan.

Majlis ini juga turut dimeriahkan oleh lebih kurang 30 orang blogger yang terdiri daripada ahli Blogger Perak sendiri. Ada yang datang dari Grik, Ipoh, Manjung, Teluk Intan, Bagan Serai dan sekitar Taiping. Kawasan mana yang tidak disebut, harap maaf ya.

Antara aktiviti yang dijalankan di dalam majlis ini ialah bacaan tahlil dan doa selamat sebelum menanti saat berbuka puasa bersama-sama. Kemudian diteruskan lagi dengan solat Maghrib sebelum menjamu selera dengan makanan yang telah disediakan oleh Mama (ibu kepada Reena) dan dibantu oleh ahli Blogger Perak yang hadir.

Selain itu juga, warga emas telah diberi sedikit duit raya dan cenderahati daripada Blogger Perak dan beberapa penyumbang demi memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka. Jika dilihat dari raut wajah mereka, memang kelihatan senyuman yang mampu terukir di bibir mereka.

Hidangan terakhir disediakan ialah satay ayam yang dibakar oleh beberapa orang pakar dikalangan Blogger Perak sendiri. Yang lain juga pakar, pakar makan satay. Aktiviti terakhir ialah sesi fotografi bersama warga emas dan Blogger Perak dan kemudiannya keberangkatan pulang warga emas ke Rumah Seri Kenangan.

Selepas tamatnya Majlis Iftar Tautan Kasih oleh Blogger Perak, satu mesyuarat telah diadakan di antara ahli-ahli Blogger Perak yang hadir. Agak terkejut juga sebenarnya, siap mesyuarat lagi. Antara perkara yang dibincangkan adalah penubuhan Blogger Perak secara rasminya, penubuhan tabung dana Blogger Perak dan lain-lain.

Rasanya tak perlulah saya nak tulis semua ya, apa yang saya ingin sampaikan ialah mengenai majlis yang dianjurkan oleh Blogger Perak. Secara ikhlasnya, saya amat berbangga dengan apa yang dijalankan oleh Blogger Perak.

Ini merupakan majlis amal yang kedua rasanya, sebelumnya bersama anak yatim pada Ramadhan yang lepas tidak silap saya. Waktu itu saya tidak dapat turut serta atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Selain menulis blog, blogger-blogger Perak telah berjaya menunjukkan satu kelainan yang bukan sahaja menganjurkan gathering semata-mata. Malah turut menunjukkan keperihatinan terhadap masyarakat.

Tahniah diucapkan kepada Blogger Perak, terima kasih kepada semua yang menjayakan Majlis Iftar Tautan Kasih pada kali ini. Terutama kepada kakak kawasan Cik Reena Tan, orang kanan Rahim WanGhazali, abang besar Reezluv, abang kecil Muhd Fadil, dan lain-lain. Tidak lupa juga Mama tercinta yang menyediakan hidangan dalam majlis ini, memang sedap habis.

InsyaAllah, Blogger Perak akan mengadakan beberapa lagi aktiviti lain di masa yang akan datang. Jika terdapat mana-mana kumpulan yang ingin menjemput Blogger Perak untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan, bolehlah memaklumkan kepada saya untuk diajukan kepada event manager Blogger Perak.

Nota Kaki: Maaf jika jalan penceritaan artikel ini macam terabur sedikit, maklumlah tengah berpuasa. Kepada Blogger Perak yang tidak disebut namanya, harap maaf. Apa-apa pun anda semua memang terbaik. We Are Family!

P/S: Maaf, tiada gambar dalam simpanan saya untuk majlis ini. Photographer slow, tak upload lagi gamaknya. 😛 Blogger Perak

Sebarkan kepada rakan-rakan anda!

11 thoughts on “Blogger Perak Meraikan Warga Emas Dalam Majlis Iftar Tautan Kasih Sempena Ramadhan 1433H”

Leave a Comment